Bulan rejab bulan barakah

Wednesday, June 23, 2010



Salam bicara, pejam celik pejam celik sekarang kita dah masuk ke salah satu bulan yang bulan yang mulia yakni BULAN REJAB. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan dilimpahi dengan peristiwa2 yang amat baik untuk dihayati. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

· “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.

Pengertian Rejab

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia juga membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan.

Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :

1. Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra’ dan Mi’raj

Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah s.w.t .

Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.


3.Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Maqdis

Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan keatas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembalioleh panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H Yahudi pila menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a

Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.

Amalan di bulan rejab

Setiap amalan yang hendak kita lakukan haruslah berlandaskan dengan syariat, jika tidak ianya sia-sia sahaja bahkan boleh menyebabkan kita menambahkan dosa peribadi kita. Caranya perlulah belajar dan meneliti sesuatu ilmu tersebut supaya tidak terpesong. Taklid buta semata-mata menyebabkan kita terus menggunakan sesuatu yang was-was dalam hidup. Di bawah ini saya sertakan tulisan yang dinukilkan oleh Ustaz Zamihan Al-Ghari tentang amalan di bulan rejab .

Zaman ini persis wanita yang mengandung. Lihatlah apa yang berlaku padanya dalam sekelip mata terutama apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.

Sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan umat Islam daripada melakukan amalan di bulan Rejab, beralaskan hadis kelebihan bulan Rejab adalah palsu dan yang lain pula mendatangkan dalil berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan Rejab.

Dalam memahami selok-belok Rejab, kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber yang berkaitan dengannya. Tegasnya, al-Quran, hadis, pandangan ulama muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur serta telus.

Ia boleh membantu kita dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan. Kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan.

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis �Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..� disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.

Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: �Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.�

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.

Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma� al-Zawa�id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba�ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).

Said menjawab: �Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: �Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.� (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: �Apa yang zahir daripada ucapan Sa�id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: �Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.�

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: �Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : �Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.�

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : �Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.�

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.

Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.




Inilah doa yang selalu dibaca oleh Rasulullah saw ketika di bulan rejab.

Wallahu a'lam.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP