Mengatasi masalah sosial.

Monday, May 10, 2010

Remaja Dan Belia Menurut Islam

Menurut Kamus Dewan, remaja bererti, mula hendak dewasa, telah mencapai aqil baligh dan sudah sampai umur untuk berkahwin. Belia pula ialah golongan muda remaja dan
pemuda.(Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia. Th: 1970.
hal: 48 dan 95).

Remaja dan belia adalah anak-anak muda lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur yang telah melimpasi umur kanak-kanak dan mula memasuki umur dewasa, umur yang cukup untuk mendirikan rumah tangga, kerana telah baligh. Umumnya remaja dan belia ialah
golongan muda-mudi yang sudah baligh hingga mencapai umur 25 tahun.

Oleh itu apabila kita membincangkan masalah sosial di kalangan remaja dan belia
Islam bererti kita membincangkan keruntuhan akhlak dan gejala-gejala negatif di kalangan golongan muda-mudi Islam yang sudah baligh iaitu kira-kira dua belas tahun hinggalah mencapai umur 25 tahun.

Alam remaja dan belia adalah merupakan zaman keemasan dan menyeronokkan. Kehidupan yang penuh ceria dan menyukakan hati. Perubahan-perubahan dari segi jasmani dan tubuh badan akan berlaku dengan cepat dan jelas. Sifat kelelakian dan kewanitaan akan
menonjol. Perkembangan jiwa, emosi dan perasaan akan menjadi subur, keinginan hawa
nafsu dan naluri kemanusiaan amat tinggi dan berpengaruh. Pada peringkat ini
perkembangan kecerdasan otak sedang pesat, mendalami dan meluaskan ilmu pengetahuan
dan pengalaman boleh dilakukan dengan cara berkesan, mengembangkan bakat dan
kemahiran mudah diusahakan.



Umumnya, zaman remaja dan belia adalah zaman yang paling penting dan kritikal,
jika baik dan berjaya, maka baik dan berjayalah mereka di dalam kehidupan di dunia dan akhirat, jika generasi remaja dan belia-belia berjaya, utuh dan mantap, maka berjaya, utuh dan mantaplah ummah kerana mereka adalah pemimpin masa depan dan generasi penyambung. Peringkat umur baligh hingga kedua puluh lima tahun ini adalah peringkat yang paling produktif dan bertenaga. Umur peringkat ini ialah umur pelajar dan tingkatan satu sekolah menengah hingga mengikuti Ijazah sarjana atau doktor falsafah di universiti.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala :

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu menjadikan kamu kuat. Setelah itu menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakinya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”. (Surah Al-Rum: 54).

Matlamat Kejadian Manusia

Manusia dijadikan Allah di dalam bentuk yang terbaik dengan tujuan agar mereka
beribadah kepada Allah Subhanahu Wataala.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku”.
(Surah Al-Zariat: 56)


Ayat di atas dengan jelas menyatakan tujuan Allah menjadikan jin dan manusia agar
mereka beribadah semata-mata kepadanya. Dalam ertikata ibadah yang luas, meliputi ibadah fardhu Ain dan ibadah fardhu Kifayah, ibadah wajib dan sunnah, ibadah khas dan ibadah ‘am, meninggalkan munkar dan menegakkan ma’ruf juga adalah ibadah.

Ibadah ini hanya akan dapat dilaksanakan apabila kita menjadikan keredaan Allah
sebagai matlamat kegiatan hidup.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan yang memelihara dan pentadbiran sekalian alam.” (Surah Al-An’am: 162).

Walaupun ayat di atas ditujukan kepada Nabi Muhammad tetapi ianya juga dimaksudkan kepada umat Islam seluruhnya, kita hendaklah menjadikan keredaan Allah sebagai matlamat kehidupan.


Tugas Dan Tanggungjawab


“Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungiawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka dengan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sungguh memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.

Menurut jumhur ulama, amanah itu ialah kewajipan menegakkan agama Allah (Islam) atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia.

Din Allah, atau agama Allah yang disebut Islam adalah suatu amanah yang telah dibentangkan kepada makhluk-makhluk selain dari manusia untuk menerima dan menunaikan tanggungjawab keagamaan tersebut dengan sebaik-baiknya. Semua akhluk makhluk itu menolak, akan tetapi manusia sungguh menerimanya kerana ia adalah sebaik
baik makhluk yang layak dijadikan khalifah oleh Allah.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah A1-Baqarah:30).

Khalifah Allah di bumi ini yang bersama insan ditugaskan untuk menunaikan amanah
Allah iaitu menegakkan Islam. Jika mereka benar-benar beriman dan mempunyai iltizam di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, dan menunaikan amanah Allah ini pasti
mereka akan berjaya.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kalangan
kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifahkhalifah
yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredainya untuk mereka, dan lagi ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadah kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah Al-Nur: 55)

Demikian dijelaskan oleh Allah janji-janjinya, kepada orang-orang yang beriman dan
beramal saleh, golongan yang berjaya melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di
bumi, dan menunaikan amanah yang diberikan oleh Allah, akan menjadi khalifah dan
golongan yang memegang kuasa pemerintahan di bumi Allah ini dan menjadi mulia di dunia dan akhirat.

Islam Sebagai Al-Din

Apa yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam ayat tersebut di
atas telahpun berlaku, kerana umat Islam yang pada mulanya kecil bilangannya, ditindas dan diancam oleh musuh, telah berjaya, terutama dalam zaman Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat Baginda, berjaya menegakkan pemerintahan, menghancurkan musuh-musuh yang menceroboh, menegakkan Islam, melaksanakan syariat Islam, menjadikan Islam sebagai cara hidup dan mengembangkannya di merata-rata dunia.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam) dan telah Ku cukupkan untuk kamu nikmat Ku dan telah Aku reda Islam dan (agama) kamu”.
(Surah Al Maidah: 3)


Ayat ini dengan jelas menerangkan Allah telah menyempurnakan Islam sebagai Al- Din untuk kepentingan dan faedah manusia, demi untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat
dan Islam adalah merupakan sebesar-besar nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada
hamba-hambanya dan tiada nikmat lebih besar dari itu. Allah juga menegaskan yang ianya reda Islam untuk menjadi agama seluruh umat manusia.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali-Imran: 19)

Sekali lagi Allah menjelaskan yang Islam adalah agama yang diredainya. Ini bermakna sesiapa yang ingin mendapat keredaan Allah hendaklah patuh, taat, berpegang teguh dan melaksanakan seluruh ajaran Islam.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadanya, menyerah diri apa yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela mahupun terpaksa, dan kepada Allah mereka dikembalikan.” (Surah Ali-Imran: 83)

Ayat di atas menjelaskan yang Allah telah menegur dan menempelak mereka yang tidak menerima agama Allah iaitu Islam. Sedangkan sama ada secara sukarela atau terpaksa,
semua makhluk Allah akan kembali dan berdepan dengan Allah, kerana tidak ada ruang atau jalan untuk lari dari hakikat ini.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Barangsiapa yang mencari (berpegang) selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya dan di akhirat nanti termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Al-Imran: 85).

Ayat di atas dengan jelas menyatakan, untuk diterima segala ibadat, perbuatan
kebajikan dan seterusnya diberikan ganjaran oleh Allah dan diredainya, hendaklah kita
menerima Islam, berpegang dan menghayatinya, patuh dan taat kepada peraturan, prinsip dan ajarannya yang syumul.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam dengan mematuhi segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah 208)

Ayat di atas menjelaskan bahawa wajib bagi kita menerima Islam secara total, semua
arahan, peraturan, undang-undang, ajaran, falsafah dan prinsipnya hendaklah diterima
semuanya tanpa kecuali. ini bermakna menerima dan menghayati perutusan Baginda
Rasulullah adalah wajib.

Maksud firman Allah Subhanahu Wataala:

“Adakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan kufur terhadap sebahagian yang lain, tidak lain balasan orang-orang yang berbuat demikian daripada kamu kecuali kehinaan dalam hidup di dunia dan di Hari Kiamat di halau kepada siksa yang sangat pedih”. (Surah Al-Baqarah: 85)

Ayat di atas menjelaskan agar kita menerima Islam seluruhnya, kerana Islam itu
agama yang sempurna dan syumul, yang terdiri dari akidah dan keimanan, syariah dan
undang-undang, dan ihsan atau akhlak juga terkenal dengan tasauf. Penerimaan dan
penghayatan terhadap ketiga-tiga asas ini adalah wajib.

Aqidah

Aqidah, atau keimanan, adalah asas untuk menentukan sama ada seorang itu Islam atau tidak. Jika ia beriman maka barulah diterima sebagai Islam, kerana iman bererti
membenarkan atau bertasdiq dengan hati dan berikrar dengan lisan dan beramal anggota
zahir dengan ajaran-ajaran Allah Subhanahu Wataala, yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Untuk memenuhi tuntutan iman, maka perlu ada ketiga-tiga perkara ini, iaitu mengakui di dalam hati bahawa Islam itu benar, kalimah syahadah adalah intipatinya, menyatakan dengan lidahnya bahawa Islam itu agama yang benar, menyebut dan mengikrarkan kalimah syahadah adalah kuncinya, serta mengamalkan ajaran-ajaran yang
terkandung di dalam agama Islam itu. Kalau ketiga-tiga perkara tidak ada, maka tidaklah sempurna keimanan seseorang itu.

Syariah

Syariah ialah setiap hukum yang diperundangkan oleh Allah Subhanahu Wataala ke atas hambanya agar mereka beriman kepadanya boleh membawa kebahagiaan di dunia dan di
akhirat. Hukum-hukum ini dinamakan syariah kerana kedudukannya yang lurus, sistemnya
yang benar dan tidak menyimpang daripada tujuannya sama seperti jalan yang tidak
menyimpang daripada tujuannya, lurus dan betul. Berdasarkan pengertian ini ia bolehlah disamakan dengan saluran air yang menjadi sumber kerana air pun menjadi punca kehidupan bagi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Berdasarkan kenyataan tersebut adalah jelas bahawa syariah ialah hukum-hukum yang diturunkan dan diperundangkan oleh Allah Subhanahu Wataala, kepada hambahambanya
yang bersifat adil, hak dan syumul, sistemnya adalah unggul dan berwibawa, perjalanannya lurus dan tidak menyimpang daripada tujuan asalnya. Berpegang dan
menghayatinya membolehkan kita mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Hukum-hukum yang diperundangkan oleh Islam adalah luas dan menyeluruh termasuklah yang berhubung dengan muamalah dalam ertikata yang luas, ibadah, akidah dan akhlak.


Kertas kerja asal disediakan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Haji Mahmud Saedon bin Awang
Othman, Pakar Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan telah dibentangkan
dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Kali Ke-22 di Negara Brunei Darussalam
pada tahun 1997.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP