Pertama kali jejakkan kaki.

Wednesday, January 13, 2010

Pada hari Jumaat, bertarikh 8 januari bersamaan 22 Muharram 1431 hijrah adalah hari ketenangan kerana hari jumaat ialah penghulu segala hari, di samping paginya yang serba indah dilimpahi dengan lampu cahaya merah mentari.

Pagi ini hajat saya hanya satu hendak pergi ke satu tempat yang belum pernah saya jejaki sejak 3 tahun menetap di halaman Terengganu. Niat ke sana memang ada cuma kesempatan masa tidak mengizinkan. Jadi hari ini adalah masa yang terbaik.

Jam 7.30am saya bersiap untuk bertolak dari kampus,dengar2 daripada sahabat2 perjalanan kesana memakan masa 45 minit. Saya ke sana dengan teman karib saya DBM 1950, Mutor Lagenda 110 cc, jika keluar kemana-mana mesti saya bersamanya.Dalam perjalanan ke sana, tiada ragam-ragam manusia di jalan raya sebabnya pagi masih muda, mungkin di antara sahabat2 saya ada yang masih berselimut kerana hari ni cuti umum di Terengganu.

Saya tiba di sana lebuh kurang jam 8.15am, suasana pagi di sana agak meriah dengan kereta berderet di kiri dan kanan bahu jalan. Tambahan pula, di hiasi dengan gerai2 makanan serta gerai2 buku ilmiah berbaris berdekatan dengan masjid. Saya terus mencari tempat letak mutor yang berdekatan dengan masjid.

Turunnya saja daripada mutor, saya rasa sungguh gembira kerana dengan rasminya dapat memijak tanah Rusila, Marang Terengganu. Tempatnya agak biasa macam kampung saya tapi saya dapat rasakan ketenangan di tempat ni. Sebelum masuk ke masjid, saya sempat melihat-lihat keadaan sekeliling Rusila, kebanyakan manusia yang datang dengan keadaan berkopiah dan beserban manakala yang hawanya berjubah manis dan bertudung labuh melambangkan wanita2 Islam sebenar.

Jam menunjukkan jam 8.30am, saya terus masuk ke masjid. Pada waktu tu, pendengar2 setia kuliah masih kurang lebih kurang 10 hingga 15 orang saje. saya mengabil kesempatan untuk menunaikan solat sunat tahyatul masjid sebagai penghormatan serta beri'tiqaf. Pada jam 9am ruangan masjid mulai penuh dengan kelibat manusia yang ingin mengisi serta menambah makanan rohani mereka. Pada waktu itu jugalah tibanya presiden PAS yang saya kagumi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang bersih memakai jubah bewarna putih serta beserban duduk untuk menyampaikan kuliah.

Kuliah bermula pada jam 9.10am dalam keadaan tenang. Kuliah dibahagikan kepada tiga slot, pertama slot berkenaan dengan tafsir Al-Quran, kedua berkenaan dengan petikan Hadis Rasulullah dan ketiga berkaitan dengan sebab nuzul sesuatu ayat. Kuliah ini memeberi saya sedikit sebanyak ilmu yang belum saya ketahui. Kuliah memakan masa satu jam setengah dan tamat pada jam 10.30am.




Harapan saya, pada waktu akan datang saya akan kembali lagi ke Rusila jika ada peluang. Kata2 Imam Ahmad bin Hambal menjadi resepi bagi saya untuk mencari ilmu walaupun tempat ilmu tersebut agak jauh. " ilmu tak akan datang dengan sendiri kecuali kita yang berusaha untuk mencarinya. itulah kata Imam Ahmad. Ini sekadar perkongsian pengalaman, mudah-mudahan dengan adanya perkongsian akan dapat merubah diri kita ke arah lebih baik.

Read more...

Mulai hari ini..

Monday, January 4, 2010

Assalamu'alaikum

Pada pertengahan Muharram ni, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadarat Ilahi kerana kita dapat lagi membuka mata melihat dunia serta dapat terus-meneruskan membuat 'amal ma'ruf wa nahi munkar, insya Allah.

Di kesempatan ini, ana ingin berkongsi sedikit ilmu yang ada untuk sama-sama kita memperbaiki diri kita untuk lebih bertaqarrub kepada Allah. Perkara yang ana hendak kongsikan adalah berkenaan dengan 3 cara untuk menambahkan Iman kita.

kadang-kadang kita sering terfikir adakah 'amal yang kita lakukan ni adalah amalan yang terbaik? dan adakah perbuatan kita ini akan benar-benar di terima oleh Allah?

Perkara yang pertama yang perlu kita lakukan adalah :



1) MUJAHADATUNAFS

Yakni kita mestilah bersungguh-sungguh untuk berperang @ melawan nafsu demi untuk menjaga iman kita. Sesungguhnya orang yang akan aman di dunia adalah orang yang dapat menahan nafsunya dari melakukan perkara lara dan maksiat. Kita mesti ingat jihad yang terbaik adalah jihad seorang muslim itu "mengurung" nafsunya.

2) MELAKUKAN SERTA MEMPERBANYAKKAN PERKARA SUNAT

Bangun di malam hari adalah perkara sunat yang terbaik yang perlu kita lakukan, kerana pada malam hari itu kita akan merasai nur dan ni'mat yang tersendiri. Dengan melakukan solat tahajjud, memperbanyakkan berzikrullah dan meneliti ayatullah, hati yang keras insya Allah akan menjadi lembut. cubelah!!



Di samping itu juga, kita boleh juga melakukan amalan sunat yang lain antaranya puasa sunat isnin dan khamis, melakukan sunat dhuha, membaca mathurat dan sebagainya.

3) BERTAFAKKUR

Bertafakkur @ berfikir adalah perkara yang sering kita lupakan. Dalam konteks tafakkur di sini adalah tafakkur tentang pencipta kita. Contohnya, ketika anda melihat keindahahan bukit bukau, pantai yang membiru dan awan yang bergerak adakah kita memikirkan tentang keagungan pencipta yang mencipta itu semua?

Mungkin sesetengahnya mengatakan "ya" dan setengahnya mengatakan "tidak". Tetapi itulah hakikatnya manusia yang sering lupa kepada pencipta tetapi pencipta tidak pernah sesekali lupa kepada makhluknya.

Selain pada itu, berfikir juga dapat memperbaiki diri kita kepada yang lebih baik dari hari ke hari. Manusia yang kurang berfikir ibarat terus menerus berjalan di lorong gelap sedangkan dia tahu bahayanya keadaan di lorong tersebut, apabila mula berfikir dia tidak akan mengulangi perkara yang dianggap bahaya itu.

Ingat!!! manusia yang bijak adalah amalan hari ini lebih baik daripada kelmarin dan amalan esoknya adalah lebih daripada hari ini.

Tambah ilmu tunjuk melalui amalan.
wasalam.

Read more...

Barakah 2010

Friday, January 1, 2010



السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Alhamdulillah dengan limpah 'InayahNya dapat lagi kita menjenguk ke tahun baru iaitu tahun 2010, mudah-mudahan tahun baru ini Allah akan memberkati kita semua.

Pada permulaan tahun baru ini, marilah sama2 kita memperbahurui azam, matlamat serta visi & misi kita dalam meneruskan perjalanan di atas penjara dunia ini agar kita tidak terpesong dengan perkara2 yang tidak elok dan menyesatkan. Selain pada itu janganlah kita lupa untuk terus mentajdidkan serta mencari ilmu2 demi memperkasakan iman dan amal kita.Sesungguhnya orang yang berilmu adalah lebih baik daripada orang yang beribadah semata-mata.

Di samping itu juga, jadikanlah 2010 sebagai anjakan untuk kita berubah daripada melakukan maksiat enteng @ dengan melakukan maksit besar. moga-moga maksiat yang lepas di sirnakan oleh Allah.I'tiqad serta beristiqomahlah dalam doa agar kita di naungi oleh Maha Penyayang.

Akhir kalam, teruskan perjungan untuk ISLAM.

Read more...

Punca maksiat & keperluan taubat

Thursday, December 31, 2009

"Perkara Yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar), yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menghindari perkara-perkara yang syubhat(yang samar), maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya, dan sesiapa yang jatuh pada perkara-perkara yang syubhat, maka ia pasti jatuh pada yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir ia memasukinya. Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, yang jika ia elok maka eloklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati".

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda 194.

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak".

Perkataan akhlaq adalah plural daripada khuluq yang dari segi bahasa bererti perangai, tabiat, adat, maruah dan agama. Adapun dari segi istilah, Ibnu Miskawaihi mentakrifkan khuluq sebagai sifat yang mantap di dalam jiwa yang mengajaknya kepada melakukan perbuatan tanpa berfikir.

Imam Ghazali195 pula mentakrifkannya sebagai satu bentuk atau keadaan (hai'ah) yang tetap atau melekat di dalam jiwa, yang daripadanya keluar perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa berfikir. Apabila daripada hai'ah tersebut keluar perbuatan-perbuatan yang baik lagi terpuji, sama ada mengikut pandangan syara' atau akal, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang baik. Tetapi apabila daripada hai'ah itu keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang buruk.

Sifat dalam jiwa dan kesannya pada anggota badan

Jadi akhlak mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas Suluk atau tingkah-laku dan perbuatan-perbuatan yang keluar daripada manusia. Imam Ghazali menyatakan bahawa setiap sifat yang ada di dalam jiwa atau hati akan nampak kesannya pada anggota-anggota badan, sehingga anggota-anggota badan tersebut tidak bekerja melainkan mengikut sifat yang ada di dalam jiwa atau hati tersebut.

Dengan demikian, jelaslah bagi kita bahawa punca daripada segala perbuatan manusia, sama ada yang baik atau pun yang buruk, sama ada berupa kebajikan ataupun ma'siat, pahala atau dosa, adalah datang daripada sifat-sifat yang ada di dalam jiwanya.

Imam Ghazali berkata bahawa manusia mempunyai sifat-sifat yang banyak, tetapi yang menjadi punca perbuatan ma'siat atau dosa ada empat sifat, iaitu: sifat rububiyah (ketuhanan), sifat syaitaniyah (kesyaitanan), sifat bahimiyah (kebinatangan), dan sifat sabu'iyah(kebuasan). Hal yang sedemikian disebabkan kerana perwatakan manusia diadun daripada campuran yang bermacam-macam. Setiap satu daripada campuran dalam adunan tersebut mempunyai kesannya.

Pertama: Dari kumpulan sifat-sifat rububiyah muncullah sekumpulan daripada dosa-dosa besar, seperti riya', sukakan pujian, takabbur, cintakan kedudukan, kepimpinan dan pengaruh, suka memaksa, sukakan kekayaan, menghinakan atau merendahkan orang lain dan lain-lain seumpamanya.

Abu Daud, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda:

"Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kesombongan itu adalah pakaianKu, dan kebesaran itu adalah selendangKu. Barangsiapa yang menyaingi Aku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka".

Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda.

"Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah daripada kesombongan".

Kedua: Dari sifat-sifat syaitaniyah muncul sifat dengki,zalim, muslihat, tipu, mengajak kepada kerosakan dan kemungkaran, hipokrit, menyeru kepada bid'ah dan kesesatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Dari sifat-sifat bahimiyah muncul sifat tamak, rakus, garang, gemar memuaskan syahwat, yang muncul daripada zina, liwat(homosek), mencuri, memakan harta anak yatim dan lain-lain seumpamanya.

Keempat: Dari sifat-sifat sabu'iyah(buas) muncul sifat marah, dendam, menceroboh, bergaduh, memaki, membunuh dan memusnahkan harta.

Kemunculan sifat-sifat ini adalah secara beransur-ansur.Mula-mula yang dominan adalah sifat bahimiyah, kemudian sifat sabu'iyah. Apabila berkumpul kedua sifat tersebut, mulailah keduanya memanipulasikan akal dalam menipu, membuat helah, yang merupakan sifat-sifat syaitaniyah.Kemudian, yang terakhir dominan ialah sifat-sifat rububiyah, iaitu sifat megah, bongkak, suka meninggi diri, suka dipuji, gila kuasa, gila pangkat dan seumpamanya.

Inilah punca utama yang menjadi sumber perbuatan dosa, yang daripadanya mengalir ke anggota-anggota badan, sebahagiannya ke dalam hati khususnya, seperti kufur,nifaq,menyembunyikan kejahatan, sebahagiannya ke perut dan kemaluan, sebahagiannya ke tangan dan kaki, dan sebahagiannya ke seluruh badan.

Dosa-dosa ini terbahagi kepada dosa antara hamba dengan Allah SWT, seperti meninggalkan solat, puasa dan kewajiban-kewajiban khusus, dan dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia, seperti tidak membayar zakat, membunuh,merampas harta, memaki, dan lain-lain. Kemudian ia juga terbahagi kepada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, yang mengenainya terdapat perbezaan pandangan yang terlalu banyak untuk dihuraikan disini.

Hanya sebagai panduan, dikemukakan beberapa perkara untuk dijadikan pegangan:

Pertama: Dosa kecil menjadi besar kerana beberapa sebab, di antaranya ialah jika dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan:

"Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan".

Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil yang dilakukan secara berterusan.

Kedua: Perbuatan dosa menjadi besar jika dianggap kecil, tetapi, sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah SWT, kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpalingnya hati daripadanya.

Sebahagian ulama berkata: Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya.

Ketiga: Dosa kecil menjadi besar dengan disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Keempat: Dosa kecil menjadi besar dengan menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azabNya.

Kelima:Dosa kecil menjadi besar dengan dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya, atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.

Keenam: Dosa kecil menjadi besar apabila dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti oleh masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

Hukum dan keutamaan taubat

Bertaubat hukumnya adalah wajib dengan segera dan diberi pahala, kerana ia adalah perkara yang diperintah.

Di dalam surah Al-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung".

Di dalam surah Al-Tahrim: 8, Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal salih) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan disebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu".

Dalam ayat di atas disebut perkataan 'taubatannasuha'.

Qatadah berkata: Al-nasuh al-sadiqah, al-nasihah, maksudnya adalah yang benar. Ada juga yang mengatakan bahawa al-nasuh ertinya al-khalisah, bererti yang ikhlas, atau yang murni.

Al-Farra' berkata: Nasuha daripada sifat taubat; maknanya taubat yang menasihati pelakunya untuk tidak kembali kepada perbuatan yang ia bertaubat daripadanya. Al-Kilabi r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh: penyesalan dengan hati, istighfar (minta ampunan) dengan lidah, meninggalkan dosa (dengan badan), dan bertekad untuk tidak kembali(kepada dosa yang dilakukan).

Said bin Jubair r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh ialah taubat yang diterima, dan tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima, mengharap agar diterima dan istiqamah dalam ketaatan.

Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah, Nu'man bin Basyir, Abdullah bin Mas'ud dan Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seseorang daripada kamu daripada seorang lelaki yang berada di tanah lapang yang sunyi, yang berbahaya, bersamanya untanya yang di atasnya perbekalan, makanan, minuman, dan segala keperluannya. Kemudian untanya hilang, maka iapun keluar mencarinya, sehingga apabila ia (berputus asa) dan merasa akan mati, maka ia berkata: Aku akan kembali ke tempat di mana aku kehilangan untaku supaya aku mati di sana. Kemudian iapun kembali ke tempatnya, maka matanya dikalahkan oleh rasa mengantuk dan iapun tertidur, kemudian ia bangun dan tiba-tiba ia jumpai untanya berada di hadapannya di atasnya makanan, minuman dan segala yang diperlukannya".- Petikan dari kitab; "Perjalanan Rabani: Merentas alam dunia, barzakh dan akhirat".

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun.

Read more...

Jahiliah moden kian menjadi-jadi

Sunday, December 27, 2009

Seorang motivator Islam, Syeikh Muhammad Qutb (adik Syahid Saiyid Qutb) dalam bukunya 'Jahiliah kurun kedua puluh', ada menegaskan, bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak mulia, budi bahasa, sopan santun atau sifat-sifat yang baik, yang menyembah dunia dan segala bentuk kebendaan, yang lebih tepat lagi tidak berkiblatkan akidah kepada Allah SWT

Benarlah kenyataan yang pernah disebut oleh Khalifah agung, Sayidina Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan terhakis satu demi satu, jika masih terdapat di kalangan orang Islam yang tidak mengenal erti jahiliah."

Maksudnya, apabila wujud di kalangan orang Islam masih terikat dengan amalan jahiliah, akhirnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan keluar daripada dirinya sedikit demi sedikit, maka pada ketika itu dia tidak lagi menjadi manusia Muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam.

Sebagai contoh, penampilan seorang artis wanita di atas pentas dengan membuat persembahan di hadapan ribuan penonton lelaki, pada ketika dia menyampaikan persembahannya, dalam keadaan bersolek, berwangian, tidak menutup aurat serta tidak memakai tudung kepala, berpakaian ketat, mungkin juga nipis atau jarang, kesemua itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliah moden.

Ia termasuk dalam urusan pentadbiran negara, apabila peraturan, undang-undang serta hukum-hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran tidak menjadi sandaran dan rujukan untuk dilaksanakan, para pemimpin lebih rela mengutamakan undang-undang sivil, termasuk yang diceduk daripada fahaman Sekularisme, Kapitalisme dan Sosialisme.

Maka apabila undang-undang itu menjadi pegangan dalam kehidupan bernegara, maka berlakulah krisis keyakinan terhadap Islam dalam diri orang-orang Islam itu sendiri, sorotan laporan akhbar arus perdana serta siaran berita mengesahkan jahiliah moden itu.

Terdahulu kedengaran seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu membabi buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah di Damansara Damai menganggotai kumpulan 'Geng labah-labah' yang berorientasikan jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah, terlibat dalam minuman keras, isu mat serta minah rempit yang tidak berkesudahan, budaya lepak yang menggambarkan pelakunya seperti tidak memahami dan mengetahui hala tuju hidup sebagai orang-orang Islam.

Lebih parah lagi apabila terdapat individu-individu bernama Islam yang membunuh mangsa dan meletupkan batang tubuh mayat bertujuan untuk menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga mangsa yang dirogol, kemudian dibunuh dan seterusnya dibakar.

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sampai mati, seorang ayah yang merogol anak gadisnya (sumbang mahram), perlakuan memberi dan menerima rasuah, terlibat dalam urusan perjudian dan arak secara terang dan jelas, anak-anak luar nikah dicampakkan dalam tong sampah, dibuang di masjid dan bermacam-macam kes lagi.

Tidakkah semua tindakan itu dianggap sebagai perlakuan amalan jahiliah moden yang lebih parah daripada jahiliah di zaman Rasulullah s.a.w.

Justeru, tidak mustahil mereka akan ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: "Umatku ini adalah umat yang disayangi Allah, sepatutnya ia tidak ditimpa azab pada hari Kiamat, tetapi di dunia lagi mereka ditimpakan dengan emapat perkara : Berlaku fitnah-fitnah yang banyak, gempa-gempa bumi, kematian/pembunuhan berlaku di mana-mana dan bala-bala daripada Allah SWT." (Hadis riwayat Sa'id al-Khudri)

Jelas daripada apa yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w. itu, umat Nabi Muhammad ditimpakan azab, malapetaka, bencana semasa menjalani proses hidup di dunia lagi akibat tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah ke atas mereka, kesimpulannya umat hari ini melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diarahkan oleh Allah ke atas mereka.

Pada waktu itu, maka layaklah mereka ditimpa dengan pelbagai fitnah seperti terdapat orang Islam yang tidak memunaikan solat, ditimpa bencana alam seperti ribut petir, putting beliung, gempa bumi, banjir kilat, kematian berlaku di mana-mana dengan begitu mudah dan terdedah kepada pelbagai bentuk bala Allah.

Tujuan semua itu ditimpakan ke atas mereka, agar manusia seluruhnya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka yang dicipta daripada tanah, air mani yang busuk lagi hina, supaya meletakkan keyakinan tinggi untuk menjadi hamba Allah dan hanya beribadat kepada-Nya.

Nukilan ustaz zainuddin hashim.

Bersama-sama kita berdoa agar kita dilindungi oleh Allah daripada perkara-perkara sebegini.

Read more...

Adakah ini cinta sebenar?

Saturday, December 5, 2009


“Segannya !!!”, aku menolog sendirian.

Aku bersama teman-teman sekelasku semuanya satu geng daripada form 3 karomah hendak ke kantin untuk ‘lunch’ tanpa disangka terserempak dengan Nur amilin gadis form 2 yang mana kelasnya bertentangan dengan kelasku. Aku tersenyum sendirian.

Aku teringat ketika mula-mula aku mengenali Nur amilin. Pada waktu itu, kami sama-sama di dalam musolla untuk mempelajari ilmu tarannum yang diajar oleh ustaz Hassan. Aku dan teman-temanku duduk di saf hadapan manakala pelajar perempuan duduk di saf belakang sedikit daripada pelajar lelaki. Bagiku semua pelajar perempuan adalah sama, tiada seorang pun yang menarik perhatianku.

Tiba-tiba…

“Ente fil wara’!… ustaz nak ente baca ayat 1-10 daripada surah al waqiah dalam bacaan tarannum bayati”, ujar ustaz Hassan kepada salah seorang pelajar perempuan.

Pelajar perempuan tersebut berjilbab hitam dan berkaca mata. Dia mengangguk tanda patuh suruhan ustaz Hassan. Aku melihat wajahnya amat tenang sekali.

“Tak pernah pulak aku lihat budak ni sebelum ni” ku berbisik dalam hati.

Apabila dia mula membaca, tersentak hatiku….

Subhanallah!!!

Merdunya suara, bak suara qariah yang menjuarai pertandingan tilawah antarabangsa tahun lepas.

Aku terleka seketika dan terbuai-buai di kayangan, indahnya suara perempuan ni.

Dengan sebab itulah, perasaanku menjadi terbuak-buak untuk mengenali lebih rapat dengan Nur amilin.

Pada keesokan harinya di pustaka sekolah, tanpa menggunakan akal yang waras dan hanya mengikut nafsu yang buta, aku terus menyapa Nur amilin yang sedang asyik menelaah buku pelajaran.

“Assalamualaikum”, sapaku.

“Waalaikumusalam”, sapaanku dibalas.

Ku tak menyangka Nur amilin seorang yang peramah dan mudah di ajak untuk berbual. Perbualan kami berlarutan sehingga loceng waktu rehat tamat.

Daripada perbualanku dengan Nur amilin, aku telah meminta nombot telefonya. Harapanku dengan nombor telefon ini menjadi titik mula perkenalan sehingga akan timbul perasaan cinta dan kasih.

Sejak dari situlah, aku sering bermesej dengan Nur amilin hingga lewat malam. Kadang-kadang tepaksa “top up” hingga RM 10 sehari…. Ish2… aku tak memikirkan langsung pasal wang dan fungsi wang sebenar sebaliknya aku lebih banyak memikirkan kenikmatan ‘hanyutan cinta’ dengan Nur amilin.

Hubungan kami berlarutan sehinggalah………….

“Pelajar-pelajar semua arini ustaz nak bagi sedikit tazkirah tentang cita2 dan cinta”. Ucap ustaz Saiful.

Ustaz saiful ialah seorang ustaz lepasan Kuwait yang fasih bahasa arab, beliau juga merangkap guru kelasku.

Antara kata-kata ustaz yang terlekat pada hatiku :

Sebagai pelajar kita perlu mencari ilmu kerana ilmu adalah pelita hidup, tiada ilmu butalah hati, butalah langkah dan butalah akal. Apabila ketiga-tiga faktor ini buta, maka masyarakat akan anggap seseorang ini bodoh dan akan dihina.
Manakala mencari cinta waktu belajar dan ketika umur masih muda sebegini adalah sementara. Boleh diibaratkan sebagai ‘cinta monyet’ semata-mata.

Terdetik dalam hatiku, apakah kelakuanku selama ini salah semuanya?? Apabila mendengar ustaz saiful aku mula berfikir akan pelajaranku, sejak mula mengenali Nur amilin aku kurang memberi perhatian kepada pelajaran.

“Mulai hari ni aku perlu berhenti dan perlu berubah”, ujarku sendirian.

Malam tu aku berterus terang dengan Nur amilin tentang I’tiqadku, Alhamdulillah… Nur amilin faham akan keputusanku. Aku rasa inilah cinta di zaman remajaku yang terakhir dan aku yakin akan datang cinta yang hakiki bersamaku nanti.

“hey !! ape yang kau mengelamun tu”, sentak ali kepadaku.

Aku beristihgfar beberapa kali…

“Jom la ke kantin”, ujar ali sekali lagi.

Aku mengangguk…

Aku terus mengalih perhatian dari Nur amilin dan terus berjalan ke kantin dengan teman-temanku.

Sekian.

Sebenarnya zaman remaja adalah zaman seseorang itu ingin mencuba sesuatu. Remaja lebih banyak menggunakan nafsu tanpa melihat kesan dan akibat kelakuan mereka. Maka berlakulah perkara-perkara yang kurang elok.

Bina matlamat hidup untuk terus melangkah.

Read more...

Untuk wanita

Wednesday, December 2, 2009


Hidup ini kadang-kadang rasa gembira, kadang-kadang rasa sedih, nak
marah ,merajuk atau jauh hati, kadang-kadang rasa di sayangi, rasa
di perlukan, rasa terasing, rasa di buang … macam-macam perasaan
yang bersarang dalam hati dan itulah kurnian dariNya yang maha bijak
sana dan seharusnya kita bersyukur.

Kadang –kadang kita sering alpa ,leka dengan keindahan dunia ,
terlalu menurut kehendak nafsu , mengikut telunjuk syaitan sampai
terlupa yang diri ini adalah hamba dan mendapat rahmat daripadanya
,hamba yang sering dikurnia kan nikmat dariNya , tetapi kita terlalu
sedikit mensyukurinya.

Kebiasaanya manusia akan merasa bahagia bila disayangi , di beri
perhatian ,di ambil berat ,di cintai , kadang-kadang sedikit bangga
bila diri ini dirindui .Tapi oleh kerana terlalu tabsub mengejar
semua ni ,kadang-kadang kita tak sedar yang kita telah melanggar
perintah Allah , melanggar syariat sekaligus mencemarkan tatasusila
kita sebagai muslimah yang beriman. Betapa wanita itu akal nya
setipis rambutnya, ….hatinya serapuh kaca….dan perasannya yang
selembut sutera itu maka hendaklah di bekalkan dengan ilmu , di
kuatkan kan dengan iman dan dihiasi dengan akhlak.

Makhluk emosinal atau lebih dilabelkan sebagai makhluk perasa dan
itulah wanita berbanding lelaki yang lebih di nobatkan kan sebagai
mahkluk berakal.Wanita juga di labelkan sebagai makhluk pemalu…sukar
untuk meluahkan rasa,

Rasulullah saw bersabda "Malu dan iman itu bergandingan bila
terangkat satu maka terangkatlah satu lagi" ..maka ini jelas
menunjukkkan kepentingan malu dalam diri setiap muslimah.

Persoalannya sekarang , masihkah sifat malu ini menyelubunggi diri
setiap muslimah? Jika ya kenapa masih ada lagi mereka yang berani
membonceng motor dengan lelaki yang bukan muhrim ? mengapa ada lagi
muslimah yang tidak menutup aurat ? Kenapa
kita mudah mengikuti perkara yang tidak baik sedangkan perkara yang
baik kita tolak ketepi.

Tapi sedarkah kita selemah –lemah wanita ini ia berjaya menguasai
kaum adam yang mempunyai sembilan akal , bertapa peliknya…tapi
itulah kenyataan.

Bertapa kuatnya pengaruh wanita pada lelaki dan ini menunjukkan yang
dunia ini telah hampir pada akhir zaman.

Betul kata Rasulullah saw " Sesungguhnya kemusnahan kaum lelaki itu
adalah kerana mentaati wanita-wanita mereka"
Selain daripada itu "Kejahilan bagi kaum lelaki ialah mentaati
wanita selain daripada ibunya"

Huzaifah r.a berkata ia mendengar saw bersabda di dalam khutbahnya :

"Arak adalah ibu segala maksiat , wanita adalah jala syaitan dan
cinta dunia adalah kepala setiap dosa."

Rangkap yang wanita adalah jala (perangkap syaitan ) menjelaskan
maksud samada syaitan telah menghiasi mereka dengan begitu menarik
supaya menimbulkan rangsangan ataupun lelaki yang jahat akan
memandang serta menggoda mereka dengan perantaraan mereka.

Ibnu Mas'ud ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah
bersabda , "Wanita adalah objek yang tersorok , di mana ,apabila ia
keluar syaitan akan menghias mereka untuk menggoda kaum lelaki"
At-Tirmizi.

Sedarlah kaum lelaki , di sini cabaran bagi anda maka jangan
sesekali terbuai dengan tipu daya syaitan seperti firman Allah yang
bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman , masuklah kamu ke dalam Islam
keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah –langkah syaitan
.Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang paling nyata bagimu.Tetapi
jika kamu tergelincir (dari jalan Allah) sesudah datang padamu
bukti-bukti kebenaran , maka ketahuilah , bahawasanya Allah Maha
Perkasa lagi Maha bijaksana" (Al-Baqarah 208-209)

Buat kaum lelaki berwaspadalah jangan sesekali mendidik kaum wanita
dengan mengikuti perintahnya kerana ia mencerminkan kejahilan anda ,
jangan jinakkan mereka dengan emas atau harta kerana mereka akan
jadi liar dan kau semakin diperbodohkan , jangan hiburkan mereka
dengan kecantikan kerana mereka akan menderita dan kau akan
sengsara. Maka pimpinlah mereka dengan jalan kebenaran ,jalan yang
diredhai Allah kerana kau akan di tanya akan tanggungjawabmu itu
wahai lelaki.

Ibnu Umar r.a berkata :Bersabda Rasulullah Saw :

"Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu akan di tanya tentang mereka
yg kamu pimpin .Raja yang memimpin rakyatnya dan suami pemimpin
kepada keluarganya dan isteri pemimpin rumah tangga suami dan
anak-anaknya .Maka kamu sekalian pemimpin dan akan bertanggumgjawab
atas pimpinanmu"
(Riwayat Bukhari dan muslim)

Huzaifah berkata dia mendengar Rasulullah saw bersabda :

"Letakkanlah wanita pada kedudukan yang paling rendah lantaran Allah
juga telah melakukan demikian" ( Razin dan Baihaqi)

Meletakkan mereka pada kedudukan yang paling rendah bermaksud bahawa
Allah swt juga telah berfirman mengenai mereka selepas kaum lelaki
di dalam Al-Quran .Begitu juga di dalam solat berjemaah , kaum
wanita di kehendaki bersolat di bahagian terakhir .Di dalam kes
persaksian , warisan dan pangkat Allah telah meletakkan wanita pada
kedudukan kedua berbanding kaum lelaki .

Buat muslimin kamu perlukan wanita , tanpanya hidupmu tak sempurna
dan kamu tak akan ada di dunia ini , kamu perlukannya sebagai teman
untuk menemanimu dalam meneruskan perjuangan ,pendorong dikala
kesulitan , penyuluh dikala kamu tersasar , pembakar semangat dan
lain-lain.

"Apa yang tak ada dalam syurga sehingga Adam inginkan Hawa"
Penciptaan wanita ini tidak sia-sia , Allah menciptakan sesuatu ,ada
rahsia yang tersembunyi , ada hikmah ada kebaikannya.

Rasulullah saw bersabda :

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan
dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah
bahagian yang teratas , jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan
mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok ,
maka berlakul;ah baik pada wanita kamu" (Al-Bukhary dan muslim)

Wanita dan lelaki saling memerlukan, setiap kedua-duanya mempunyai tanggungjawab masing2.
Bertafakkurlah dengan hikmah Allah menjadikan sesuatu itu.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP